Soalan 1: Rumusan


[30 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menangani kenaikan harga barang keperluan pengguna dan faktor-faktor kegagalan usaha menangani isu tersebut. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Apabila kerajaan mengumumkan bonus atau kenaikan gaji untuk kakitangan perkhidmatan awam, semua kakitangan berasa lega dan gembira. Namun begitu, rasa lega dan kegembiraan itu tidaklah lama kerana nikmat daripada bonus atau kenaikan gaji tersebut seperti embun di hujung rumput. Hal ini disebabkan mereka dihantui oleh kenaikan harga barangan secara mendadak pula. Oleh itu, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan operasi mencegah kenaikan harga barangan pengguna.

Pengguna hendaklah tidak membuat pembelian secara boros, iaitu membeli sesuatu barangan mengikut keperluan dan bukan mengikut nafsu. Cara begini akan membolehkan permintaan sesuatu barangan itu seimbang dengan penawarannya. Apabila berada di kedai atau di kompleks beli belah, pengguna hendaklah lebih bijak ketika memilih dan membuat keputusan. Pengguna hendaklah membeli sesuatu barangan yang berkualiti bukannya berdasarkan harga. Harga tidak menentukan kualiti sesuatu barangan. Sebaliknya, minda pengguna telah dikelirukan, iaitu barangan yang harganya tinggi ialah barangan yang bermutu. Oleh itu, pengguna yang bijak tidak akan memilih sesuatu barangan berdasarkan harga tetapi memilih dan membeli sesuatu barangan yang kualitinya benar-benar telah dipastikan terlebih dahulu.

Usaha menangani kenaikan harga barangan di pasaran yang dilakukan oleh pihak KPDNHEP perlu mendapat sokongan padu daripada masyarakat pengguna. Masyarakat pengguna hendaklah mengubah sikap masing-masing. Pengguna perlu berani membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mendapati sesuatu premis perniagaan menjual barangan dengan harga yang tinggi atau apabila mengetahui sesuatu premis perniagaan melakukan tindakan menyorokkan barangan pengguna bagi tujuan menaikkan harga barangan tersebut. Dengan laporan sedemikian, pihak KPDNHEP akan lebih mudah bertindak terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati. Pengguna hendalah juga berani menggunakan kuasa pengguna dalam mengekang kenaikan harga barangan di pasaran melalui tindakan seperti memulaukan premis perniagaan atau memulaukan pembelian sesuatu barangan yang harganya didapati terlalu tinggi. Tindakan ini hendaklah dilakukan secara kolektif supaya lebih berkesan sehingga memberikan tekanan kepada peniaga untuk menurunkan harga.

Kebenaran oleh pihak kerajaan kepada syarikat besar membuka pasar raya atau “Hypermarket” dapat juga membantu usaha menangani kenaikan harga barangan. Pembukaan pasar raya besar ini telah mewujudkan persaingan harga antara peniaga. Dengan ini, pengguna akan mendapat manfaatnya, iaitu mempunyai tempat alternatif bagi mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan. Tindakan kerajaan menambah jumlah barangan dalam senarai harga barangan kawalan turut memberikan manfaat kepada pengguna. Tindakan ini menyebabkan peniaga tidak dapat menaikan harga barangan berkenaan tanpa kebenaran kerajaan terlebih dahulu.

Peranan media seperti akhbar telah juga membantu menangani kenaikan harga barangan di pasaran. Usaha pihak akhbar menyiarkan harga barangan di suatu negeri atau daerah dapat memberikan maklumat kepada masyarakat dan pihak KPDNHEP tentang harga barangan. Hebahan oleh pihak akhbar ini telah menakutkan pihak peniaga untuk menaikan harga barangan sesuka hati mereka. Usaha menangani harga barangan di pasaran dapat dilakukan dengan berkesan. Syaratnya ialah semua pihak perlu berganding bahu dan memberikan kerjasama terhadap sebarang usaha yang dilaksanakan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana

“Pelbagai Usaha Lindungi Kepentingan Pengguna

Dalam Kegawatan Ekonomi” , oleh Melati Mohd Ariff,

Bernama, Februari 2009.)

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TUKAR BAHASA MELAYU KLASIK KE BAHASA MELAYU STANDARD

TUKAR BAHASA MELAYU KLASIK KE BAHASA MELAYU STANDARD

TUKAR BAHASA MELAYU KLASIK KE BAHASA STANDARD