Catatan

Tunjukkan catatan dari November, 2010

PEDOMAN BAHASA

Penggunaan kata hubung berpasangan [...catatan Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim] Kata hubung berpasangan ialah kata hubung yang hadir dalam ayat majmuk gabungan yang terdiri daripada sepasang perkataan. Satu kata hubung hadir di bahagian hadapan ayat, yakni dalam ayat pertama, manakala yang kedua hadir kemudian dalam ayat kedua. Contohnya ialah pasangan “lebih baik...daripada” dalam ayat “Lebih baik mereka pergi dengan bas daripada memandu kereta sendiri.” Lazimnya makna yang dibawa membawa maksud yang bertentangan. Contoh ayat kedua ialah “Daripada kita makan gaji, lebih baik bekerja sendiri.” Seterusnya ialah pasangan “sama ada ... atau”, seperti dalam ayat “Sama ada berita itu benar atau tidak belum pasti,” dan “Dia belum menyatakan sama ada akan meneruskan perjalanan atau bermalam di sini.” Contoh kata hubung pasangan yang ketiga ialah “adakah/apakah ... atau (pun)”, seperti dalam ayat ini: “Adakah berita ini benar atau (pun) khabar angin semata-mata?

PEDOMAN BAHASA

Perkataan "justeru" dalam ayat [...catatan Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim] “Justeru” membawa dua makna. Pertama, “justeru” bermakna kebetulan, tepat, kena benar. Contoh dalam ayat, seperti yang diberikan oleh Kamus Dewan ialah: "Kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi?” Makna kedua ialah malahan , bahkan . Contoh dalam ayat: "Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia". Di Malaysia kadang-kadang orang menggunakan “justeru” yang membawa makna seperti “oleh itu”, misalnya dalam ayat berikut: “Saya tidak bersetuju dengan pandangannya. Justeru, saya tidak menyokong cadangan itu.” Di sini “justeru” telah disamakan dengan ungkapan “oleh itu”, dan diberikan koma selepasnya. Penggunaannya tidak sama dengan dua makna yang dihuraikan di atas.

PEDOMAN BAHASA

Perbezaan antara `baru’ dengan `baharu’ 'Baru' ialah kata bantu manakala 'baharu' ialah kata adjektif. 'Baru' kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris membawa maksud just , manakala 'baharu' pula membawa maksud new . Dalam erti kata lain, 'baru' berkaitan dengan tempoh masa yang belum lama berlalu seperti dalam contoh berikut: i. Mereka baru sahaja berkenalan. ii. Dia baru tiba dari Pulau Pinang. iii. Mesyuarat itu baru sahaja selesai. Manakala 'baharu' ( new ) pula merupakan kata adjektif yang menerangkan keadaan sesuatu yang berlawanan sifatnya dengan 'lama' atau 'buruk' seperti yang terdapat dalam contoh berikut: kereta baharu, baju baharu, majalah baharu, pelajar baharu, guru baharu, kaedah baharu, teknologi baharu dan sebagainya. Dari segi morfologi, kata 'baru' tidak boleh menerima imbuhan tetapi boleh menerima bentuk gandaan, iaitu 'baru-baru' seperti dalam ayat:

PEDOMAN BAHASA

Perbezaan antara ‘ialah’ dengan ‘adalah’ Kata pemeri ‘ialah’ digunakan secara persamaan dan hadir di hadapan frasa nama seperti dalam ayat berikut: “Itu ialah suara Edah”. ‘Ialah’ dalam ayat ini merupakan persamaan antara subjek ayat ‘itu’ dengan predikat ayat ‘suara Edah’ yang merupakan frasa nama. ‘Adalah’ pula, digunakan secara huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, seperti dalam ayat berikut: “Vitamin C adalah baik untuk kesihatan badan”. ‘Adalah’ dalam ayat ini menghuraikan ‘vitamin C’ yang hadir sebelum frasa adjektif ‘baik untuk kesihatan badan’.

PEDOMAN BAHASA

Antara “tonggak” dengan “tunggak” Kedua-dua kata “tonggak” dan “tunggak” mempunyai makna yang berbeza. “Tonggak” ialah kata nama yang bersifat polisemi, iaitu yang mempunyai lebih dari satu makna. Dalam cogan kata “Bahasa Tonggak Tamadun Bangsa”, “tonggak” membawa maksud kiasan yang seerti atau sinonim dengan “asas”. Oleh itu, cogan kata di atas bermaksud “Bahasa Asas Tamadun Bangsa”. Kata “tunggak” bermaksud “bahagian batang yang masih tinggal di dalam tanah selepas ditebang atau tumbang. Kata “tunggak” sinonim dengan “tunggul”. Kata “tunggak” juga membawa maksud kiasan yang sinonim dengan “baki”. Kata “tunggak” yang bermaksud kiasan ini, lebih kerap digunakan dalam bentuk terbitan seperti “tertunggak” dan “tunggakan” yang membawa maksud “kerja yang belum dihabiskan” atau “hutang yang belum berbayar”, seperti dalam contoh: “menjelaskan saman tertunggak” dan “kes tunggakan pinjaman”.

MEMBINA AYAT

Menggabungkan ayat Tulis semula ayat-ayat di bawah supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud dan susunan ayat-ayat itu. Iklan memainkan peranan. Peranan iklan sangat penting. Iklan mempengaruhi pengguna. Pengguna membeli barangan. Pengguna menggunakan perkhidmatan. Iklan mempunyai kuasa yang tersembunyi. Iklan mampu mendorong pengguna membeli sesuatu barangan. Barangan itu sebenarnya tidak diperlukan. Kini, bidang pengiklanan di negara ini telah menjadi industri. Industri ini mendatangkan keuntungan. Industri ini cepat berkembang. Memisahkan ayat Baca petikan di bawah ini dengan teliti kemudian pisahkan kandungan petikan itu kepada enam ayat dasar. Anda hendaklah mengekalkan struktur dan maksud asalnya. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertanggungjawab menyelaraskan projek dan aktiviti pengembangan bahasa kebangsaan di peringkat negeri. Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka diamanahkan juga untuk membina kesedaran da