Catatan

Tunjukkan catatan dari Ogos, 2010

Kerja lagi

GK Bahasa memaklumkan padaku bahawa sebagai ketua panitia BM , saya mesti bentangkan analisa keputusan percubaan PMR bagi BM. Baru tadi dia bagi format laporan. Jadi kenalah buat. Ada lagi........ Kena masukkkan markah percubaan SPM dalam ISIS. dengan segera untuk pemantauan dan analisa SU peperiksaan. Lagi....... Buat laporan projek berkaitan bahasa Melayu iaitu Taman Bahasa . Kena tulis laporan ikut format dan juga ambil beberapa keping gambar. Laporan kena hantar 23/9 ini kepada pihak JPN. Apa yang mereka nak buat pun tak tau la pulak.

RABU 1/9/2010

Hari Selasa cuti 31 Ogos 2010. Hanya ada 3 hari lagi untuk bersekolah sebelum bercuti pertengahan semester dan cuti Aidul Fitri. Ramai pelajar yang sudah bercuti awal. Tadi masuk kelas 5ss1 hanya ada 10 orang saja. Selepas menyerahkan kertas jawapan mereka, dapatlah beri komen kelebihan dan kekurangan jawapan mereka. Itupun hanya budak-budak RKK.Esok ada yang sudah balik kampung. Jadi bertambah ramailah yang tidak hadir. Pelajar zaman sekarang sukar difahami. Terpaksa fikir lagi bagaimana nak galakkan mereka belajar. Jangan cepat putus asa. Salah satu kunci kejayaan ialah rajin ke sekolah.

HARI ISNIN 30/8/2010

Hari ini seperti kebanyakkan sekolah lain di Perlis akan mengadakan sambutan ulangtahun Kemerdekaan Malaysia. Waktu pagi sehingga rehat dipenuhi dengan ucapan-ucapan mereka yang berkenaan . Para pentadbir sekolah akan menjadi wakil untuk membaca perutusan tersebut. Selepas itu diikuti oleh nyanyian lagu-lagu patriotik termasuklah Negaraku, Amin-amin dan sebagainya. Ada juga buat persembahan pentomen kemerdekaan bagi mengisi program pada hari ini. Sungguh meriah, ramai pelajar dan guru yang mengambil bahagian. Lepas rehat saya ada dua kelas hari ni. Satu dengan 4 MTM iaitu 2 masa . Ingat nak buat KOMSAS saja iaitu cerpen. Kemudian 2 masa dengan 5ST . Mungkin saya nak sambung ulasan soalan percubaan 2010. Jadi dari pukul 10.40 sehinggalah 1.20 kenalah mengajar. Lepas itu 1.20 hingga 2.40 ada sikit masa senggang untuk semak latihan budak dan memasukkan markah percubaan dalam ISIS.

Membina rangka

Imej
Apalah gunanya jika menulis karangan tanpa rangka atau pelan atau perancangan. Ramai pelajar yang malas menulis rangka karangan. Mereka terlalu teruja terutama melihat soalan yang dijangka telah keluar. Karangan tanpa rangka seperti obor-obor. Lembik dan lemah. -Pendek kata karangan syok sendiri. Kelebihan membina rangka karangan ialah..... 1. Penulisan sukar terbabas daripada tajuk. 2. Tidak berlaku kekeringan idea di tengah-tengah penulisan. 3. Isi boleh diuruskan dengan mudah. Isi utama didahulukan. 4. Kesinambungan isi tersusun dengan cantik. 5. Pemerengganan teratur dan bersesuaian. 6. Tiada isi yang ketinggalan. 7. Wujud ketenangan semasa menulis. Jadi proses penulisan menjadi lancar.

10 contoh kunci soalan/tajuk

1. Huraikan faktor-faktor........ 2. Tulis rencana tersebut selengkapnya........ 3. Bincangkan cara-cara mengatasinya....... 4. Jelaskan pendapat kamu....... 5. Tuliskan teks ucapan itu selengkapnya..... 6. Pada pendapat anda wajarkah............. 7. Cadangkan langkah-langkah........ 8. Tuliskan hujah-hujah anda selengkapnya........ 9. Bahaskan......... 10. Buat suatu ulasan........

Cari kunci soalan/tajuk

Imej
-setiap soalan ada kuncinya. Cari kunci soalan atau kunci tajuk. -kunci memberitahu anda kehendak soalan. -mungkin berbentuk kata atau rangkaikata. -dalam kata kunci ada jenis karangan yang perlu dikarang. -gariskan kata kunci supaya dapat kawal karangan agar tidak terbabas daripada tajuk. -dapat kunci bermakna tahu kehendak soalan, jadi boleh terus membina rangka karangan.

Pilih tajuk yang tepat

Imej
Maksudnya -biarlah tajuk yang anda faham, berupaya menulis dan menghuraikannya. -jika anda tahu tapi tidak faham, itu bukan tajuk yang tepat. -kalau tahu dan faham tapi tidak yakin untuk menghuraikannya, tajuk itu juga tidak tepat. -format karangan pun anda tidak tahu, tajuk itu juga tidak tepat. -jangan pilih yang anda minat tapi yang anda yakin menaklukinya.

Kertas 1- Bahagian B- Karangan Cemerlang

5 petua membina karangan yang cemerlang. 1. Pilihan tajuk yang tepat. 2. Tahu kunci soalan. 3. Mesti buat rangka karangan. 4. Tulislah karangan anda. 5. Lepas tulis mesti semak. * Pelajar perlu peka dengan isu-isu semasa sama ada melalui pembacaan akhbar, buku, majalah, maklumat di internet dan sebagainya. * Di samping itu, pelajar perlu menguasai asas tatabahasa dan kemahiran penulisan dengan baik.

Kertas 1 oh Kertas 1 - nasihat

Seperti yang sering disarankan oleh mana-mana guru BM , bagi Kertas 1 moleklah dijawab Bahagian B dulu . Semangat pelajar agak berkobar-kobar untuk menjawab. Fikiran masih segar. Idea melonjak-lonjak untuk keluar. Maka karanglah Bahagian B dulu agar jumlah perkataan yang ditulis melebihi 350 patah perkataan. Tidak perlu kira jumlah perkataan yang telah ditulis kerana akan membazirkan masa. Pastikan panjang karangan anda melebihi 2 muka surat kertas jawapan.Jika lebih , lagi baik. Andai jumlah perkataan melebihi 350 patah perkataan, pemeriksa mesti memeriksa juga bahagian berkenaan. Tiada pemotongan markah jika menulis dengan panjang. Kemungkinannya, karangan yang panjang banyak isi, huraian lengkap dan ada contoh. Tanggapan pemeriksa bermula dengan markah kriteria penskoran cemerlang. Pelajar juga untung.

UJIAN LISAN BERASASKAN SEKOLAH (ULBS)

Markah ULBS bagi tingkatan 5 perlu dihantar kepada SU Peperiksaan untuk beliau berikan kepada pihak KPM secara atas talian. Guru Kanan Bahasa , Cikgu Norzila menyerahkan fail ULBS tingkatan 5 yang telah siap kepadaku. Tinggal lagi untuk saya masukkan markah ke dalam perisian yang telah disediakan saja. SU Peperiksaan SMKDAA akan mengambilnya nanti secara atas talian. Allah Hu Akbar , sekali lagi saya beruntung kerana semuanya tersedia.

SLIP KEPUTUSAN

Selepas markah dimasukkan dalam ISIS, saya perlu mencetak keputusan pelajar 5ST . Slip keputusan pertengahan tahun saya edarkan kepada setiap pelajar tersebut.Tahniah kepada yang cemerlang. Kata-kata semangat kuberikan kepada yang mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan. Masih ada masa untuk SPM 2010. Paling penting semangat tidak putus asa dan mahu berubah. Ada yang puas hati dan ada yang sugul. Seterusnya, analisa keseluruhan tingkatan 5 bagi subjek BM. Pihak JPN ingin mendapat maklumat melalui taklimat oleh ketua panitia. Tiba hari dan masa yang telah diaturkan, saya alami sakit kepala secara tiba-tiba. Tapi saya tahan juga sehingga ke petang. Namun sebelum ke bilik mesyuarat saya terpaksa wakilkan saja kerana sakit itu tiada tertahan lagi. Saya cari ubat panadol tapi tiada di sekolah. Mungkin ada yang menganggap saya gementar. Maklumlah pertama kali bersemuka dengan pihak JPN. Sebenarnya saya tidak biasa dengan suhu bilik guru yang agak sejuk. Mungkin badan saya mengalami k

KERJA BARU KINI BERMULA

Sebagai Ketua Panitia Bahasa Melayu SMK DAA. Seperti kebanyakkan ketua panitia subjek lain, tugas hampir sama. Analisa keputusan peperiksaan pertengahan tahun sudah bermula. Subjek Bahasa Melayu menjadi penanda aras bagi peratus kelulusan pelajar SPM untuk keseluruhan sekolah ini. Takdir Allah sentiasa menyebelahi saya apabila semua skrip jawapan peperiksaan pertengahan tahun 2010 telah diperiksa oleh Cikgu Halimaton sebelum bertukar ke Kedah.Malah, beliau sudah menyaipkan pengiraan markah. Saya hanya perlu memasukkan data markah BM ke dalam ISIS sahaja. Kelas 5 ST, 5 AK , 5 SS 1dan juga kelas 4 MTM.

DULU ROJAK KINI MEE REBUS

Di sekolah lama saya mengajar pelbagai subjek. Kini di SMKDAA saya mengajar dan mendidik pelajar tingkatan 4 dan 5 dalam Bahasa Melayu sahaja.Walaupun jadual waktu telah bertukar 3 kali sejak saya masuk ke sekolah ini, nampaknya sukar untuk saya berpisah dengan subjek ini. Subjek ini merupakan penentu lulus atau gagalnya seseorang pelajar dalam SPM. Jika lulus BM maka dapat sijil dan jika gagal, maka pelajar gagal memperoleh sijil SPM. Nah!, Saya seakan terperangkap. Memikul amanah yang cukup besar bagi memastikan tiada pelajar yang kecundang dalam BM SPM. Secara kiasannya, kalau membuat rojak tidak perlu risau atau bermain dengan api. Tapi kini bagaikan bermain dengan api. Jika betul langkahnya maka api itu akan menjadi kawan. Jika tersilap langkah , terbakar diri sendiri. Ya Allah!, Aku bagaikan membuat mee rebus. Semoga Allah memberi hidayah kepadaku.

Dari Tengku kepada Dato'

Ya setelah 6 tahun 5 bulan, tibalah masanya saya bertukar dari SMK Tengku Suleiman (SMKTS) Beseri ke SMK Dato' Ali Ahmad (SMKDAA). Macam turun pangkat saja. Daripada kerabat diraja kepada orang biasa. Alhamdulillah, apa pun ada rahmatNya. Saya dapat mengajar subjek Bahasa Melayu iaitu opsyen saya semasa mengikuti kursus iktisas di IB pada tahun 1997. Takdir Allah tiada siapa tahu. Guru BM agak diperlukan di SMKDAA. Ketua Panitia BMnya telah bertukar ke Kedah. Jadi apabila saya masuk, saya perlu menggantikannya. Ditambah lagi sebagai guru tingkatan 5 ST.

Saya mohon bertukar ke sekolah lain

Saya fikir jika begitulah jadinya saya sebagai guru, agak rumit untuk menumpukan perhatian atau menguasai sesuatu mata pelajaran. Banyak subjek bagaikan 'cikgu rojak'. Teringat semasa saya menjadi guru sandaran kerana diberi pelbagai subjek tanpa mengambil kira opsyen saya. Oleh itu saya telah membuat refleksi semula selama beberapa hari . Keputusannya, saya gagal mengubah pandangan pihak atasan terhadap diri saya. Jadi saya yang perlu berubah secara fizikal dan mental.Maka apabila KPM membuka laluan untuk bertukar melalui G-Tukar, saya pun mengambil kesempatan tersebut.

SEJARAH MENGAJAR BAHASA MELAYU SAYA

Saya mula mengajar bahasa Melayu sejak di SMK Riam Miri Sarawak. ketika itu saya mengajar kelas tingkatan 3 dan 4. Selepas itu iaitu pada tahun 1999 sehingga 2003, saya telah menjadi Guru Perpustakaan di sekolah yang sama. Jadi masa mengajar mata pelajaran BM kian singkat . Apabila saya bertukar ke Perlis ( SMK TG Suleiman), saya telah mengajar BM di tingkatan 4 dan 6 rendah. Saya juga masih memegang jawatan Guru Perpustakaan dan Media sehingga tahun 2007. Pada tahun 2008, saya telah mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas di IPDA dalam bidang Pengurusan Pusat Sumber Sekolah selama setahun. Selepas itu pada tahun 2009 sehingga Mei 2010 , saya kembali ke sekolah asal. Mata pelajaran yang diberi ialah Pendidikan Seni tingkatan 1,2 dan 3, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tingkatan 2 dan 3, Geografi tingkatan 1 dan Bahasa Melayu tingkatan 1 dan 2.

Mula mengajar Bahasa Melayu

Saya memulakan blog ini agar semua pihak yang berkepentingan dalam subjek Bahasa Melayu beroleh manfaatnya. Sesungguhnya subjek ini sangat penting kepada umat Melayu demi meneruskan kelangsungan bahasa dan bangsa Melayu. Seterusnya agar blog ini sedikit sebanyak membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang akhirnya dapat diterjemahkan dalam bentuk keputusan cemerlang bahasa Melayu dalam PMR mahupun SPM . Mari kita doakan kejayaannya . Insyaallah.