BUDAYA (SUKA BERHIBUR) HEDOISME

Kecenderungan untuk bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan diistilahkan sebagai budaya hedonisme. Budaya yang mengutamakan aspek keseronokan diri ini seperti memiliki barangan yang berjenama, minum arak, berjudi, bermain muzik, berhibur di kelab-kelab malam dan sebagainya itu sememangnya mempesonakan dan menggiurkan golongan remaja. Gejala sosial yang kian
membimbangkan pelbagai pihak ini dikesan dirangsang oleh pengaruh iklan, rakan-rakan serta keadaan persekitaran.

Sungguhpun keinginan untuk hidup senang dan mewah adalah sebahagian daripada naluri semula jadi manusia, namun bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan itu tidak boleh dibiarkan terus menular dan membudaya dalam masyarakat kita. Ini kerana budaya hedonisme boleh mengakibatkan pelbagai gejala negatif. Di samping ia boleh menjerumuskan
masyarakat ke dalam kancah jenayah, amalan berhutang dan fitnah menfitnah, budaya hedonisme juga berpotensi membuat manusia leka dan lalai daripada melaksanakan kewajipan hakikinya sebagai hamba Allah dan sebagai anggota keluarga ataupun anggota masyarakat.

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa bangsa yang lena dibuai dengan pelbagai kesenangan dan kemewahan hidup serta didodoikan dengan pelbagai jenis hiburan akan menjadi lalai dan alpa terhadap kewajipannya hatta menyebabkan mereka menjadi lemah dan terjajah.

Pengajaran ini terungkap pada sejarah keruntuhan kerajaan Abbasiah, kerajaan Uthmaniah, kesultanan Melaka dan lain-lain lagi, di mana pemerintah dan rakyat lena dibuai kemakmuran negara sehingga lalai mengantisipasi ancaman musuh. Demikianlah juga dengan budaya hedonisme yang sedang menular dalam masyarakat kita hari ini turut mengakibatkan penyakit lalai di kalangan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang asyik berhibur dengan berkaraoke dan bersukaria bersama rakan-rakan di kelab-kelab malam tertentu akan dilalaikan oleh perbuatannya daripada melaksanakan kewajipannya terhadap Allah seperti bersembahyang, berpuasa dan sebagainya disamping lalai terhadap kewajipannnya terhadap sesama manusia seperti memberi perhatian yang sepenuhnya sama ada kepada ibu bapa mahupun kepada isteri dan anak-anak.

Sesungguhnya syaitan telahpun berjanji akan melalaikan dan menyesatkan manusia daripada jalan Allah dengan apa cara sekalipun. Pelbagai kemewahan dan hiburan di dunia ini adalah di antara senjata syaitan dan konco-konconya untuk menjerumuskan manusia kepada kelalaian dan kesesatan. Justeru, Allah menganjurkan kita semua supaya memikirkan hal ini dan berusaha menghindari diri daripada terpedaya dengan tipu daya syaitan seperti keseronokan hidup di dunia yang bersifat sementara ini. Firman Allah:--

Maksudnya:

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakah kamu mahu berfikir?”
(Q.s. Al-An’am: 32).

Firman-Nya lagi:
“...Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”
(Q.s. Ali Imran: 185).

Memang tidak dapat dinafikan bahawa budaya hedonisme atau budaya berhibur ini turut dikesan semakin menjadi kegemaran di kalangan kaum remaja di negara ini. Masalah ini sangat berat dan membimbangkan kerana ia membabitkan golongan muda yang bakal mewarisi dan memimpin negara ini pada masa depan. Justeru, pembabitan semua pihak perlu dalam mengatasi budaya ini tanpa diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata. Ia boleh dibendung jika semua pihak berganding bahu kerana kerajaan atau remaja tidak dapat mengatasi semua masalah berkenaan secara bersendirian.

Dalam hubungan ini, kita harus sedar bahawa masalah sosial remaja berkait rapat dengan pembentukan budaya yang tentunya bermula dari rumah. Sehubungan itu, para ibu bapa harus memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya hidup yang tidak sihat seperti budaya bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan yang mengundang banyak risiko kepada anak-anak itu sendiri di samping menimbulkan banyak masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sungguhpun ada di kalangan saudara-saudara yang barangkali berkemampuan untuk memberikan apa saja kepada anak-anak, namun perbuatan menyogokkan mereka dengan wang Ringgit serta pelbagai kemewahan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik dan menyayangi mereka kerana ia boleh menjadikan mereka materialistik dan lalai. Sebaliknya, suburkanlah anak-anak ataupun golongan remaja kita dengan iman dan takwa melalui didikan yang sempurna serta pemberian kasih sayang yang secukupnya.

Selain tugas ibu bapa, pertubuhan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan perlu digerakkan bagi membentuk generasi remaja yang bersifat terbuka dan berlandaskan ajaran agama, budaya dan jati diri yang kukuh. Pengetahuan serta pemahaman terhadap nilai budaya dan moral serta kupasan masalah sosial daripada kaca mata saintifik, tingkah laku dan sosial perlu diterapkan kepada remaja secara berterusan. Ini penting kerana tanda keruntuhan nilai budaya dan moral dikalangan remaja semakin terasa di negara ini sejak kebelakangan ini.

Justeru itu, cara terbaik dan mustajab bagi menangani gejala sosial yang melanda masyarakat ini ialah dengan mentarbiah diri sendiri, anggota keluarga dan masyarakat supaya kembali kepada ajaran Islam. Segala petunjuk serta peringatan Allah dan Rasul-Nya harus kita ambil perhatian dan hayati sungguh-sungguh ke arah membentuk diri lebih beriman dan bertakwa. firman Allah:

Maksudnya:
“Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).”
(Q.s. Al-Qiamah: 20-21).

Wallahu a'alam

am@hmetro.com.my Oleh Khalid Yasin

Dalam era globalisasi dan kepesatan teknologi maklumat, nilai Barat yang negatif dan bertentangan dengan Islam dengan senang menular dan mempengaruhi masyarakat Malaysia. Ditambah pula dengan lemahnya iman dan kekuatan
jati diri, seseorang individu itu akan mudah terpikat dan terikut-ikut dengan godaan dan hawa nafsu. Sikap memandang remeh kepada masalah besar seperti gejala sosial boleh mengundang padah.

Budaya berhibur yang keterlaluan (entertainment culture) dan budaya hedonisme (berseronok) yang merupakan antara faktor kejatuhan tamadun Greek

boleh turut meruntuhkan tamadun Melayu Islam. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap kepada pemberita selepas memberi
ceramah di sebuah sekolah di Seremban baru-baru ini berkata, jika kita belajar agama, kita akan menjadi manusia yang berjaya apabila menggunakan al-Quran
dalam kehidupan seharian kerana Islam itu adalah cara hidup.

“Pelajaran agama penting kerana Islam adalah cara hidup dan kalau mengikut cara hidup Islam, kita tidak akan gagal, kalau tidak ikut, kita akan gagal,”katanya,

Menjawab soalan mengenai masalah sosial dan jenayah membabitkan pelajar sekolah yang meningkat, Dr Mahathir berkata, sebahagian adalah
disebabkan kelemahan sistem pendidikan dan sebahagian lagi adalah disebabkan persekitaran. Beliau berkata, penggunaan internet adalah untuk mendapatkan ilmu dan informasi tetapi internet juga boleh diakses untuk pornografi.

“Kita boleh sekat, boleh tapis seperti di negara China dan Jerman. Kita boleh buat kerana pada masa ini remaja berusia 15 dan 16 tahun pun tengok, mereka
jadi macam gila apabila nampak perempuan. “Keadaan persekitaran pada masa ini juga adalah sangat teruk dan kita perlu mengenakan tindakan
terhadap mereka yang melakukan jenayah dengan mengenakan hukuman berat. Moral kita pada masa ini sudah teruk, sudah runtuh, tak ada moral langsung. “Kalau ada undang-undang tak kuatkuasa pun tak guna. Perkara utama dalam hal ini bukan undang-
undang sahaja tetapi peranan yang perlu kita mainkan seperti ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya,”katanya.

Berpegang kepada kata-kata bekas perdana menteri itu, pembanterasan gejala sosial itu adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan
sahaja diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan. Komitmen semua pihak diperlukan bagi mewujudkan satu tindakan bersepadu sesama agensi kerajaan dan masyarakat keseluruhannya.

Pengarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM),Dr Amini Amir Abdullah ketika membentangkan kertas kerja berkaitan menangani gejala sosial menurut perspektif Islam di Melaka, baru-baru ini berkata, semua pihak mesti berasa risau dengn gejala sosial kerana takut Allah akan menghancurkan binasakan
semua kita.

Seperti firman Allah s.w.t yang katanya bermaksud:
“Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang yang melampau dengan kemewahan antara mereka (supaya taat) lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat
padanya, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkan sehancur-hancurnya.”

Sehubungan itu, dalam menghadapi gejala sosial yang melanda negara kita ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama kerana semua pihak akan terpalit jika
ditimpa musibah.

Dalam menangani gejala sosial, satu pelan bertindak yang rapi serta tindakan yang berterusan perlu diambil dalam usaha untuk menangani feneomena gejala sosial di kalangan masyarakat kita. Kerajaan, pihak berwajib, pemimpin, masyarakat, guru dan pensyarah, ibu bapa dan setiap individu perlu memainkan peranan dalam menangani permasalah berkenaan. Ibu bapa yang tidak memantau dan mengambil berat perkembangan sosial anak-anak adalah antara punca
mengapa remaja kita mudah terjebak dalam gejala sosial.

Dr Amini Amir berkata, ibu bapa yang terlalu mengikut kehendak anak hingga dibiarkan bebas boleh menyebabkan anak berada di luar kawalan dan bertindak di luar daripada batasan agama. Banyak gejala sosial yang berkait rapat dengan kurangnya pengawasan dan kawalan terhadap kehendak dan perbuatan anak. Sehubungan itu, katanya, selepas ibu bapa berusaha untuk kecemerlangan akademik dan sahsiah anak, ibu bapa perlu berdoa dan bertawakal serta berserah diri kepada Allah.

Persoalannya sekarang, sikap anak kita banyak berpunca daripada didikan keagamaan dan kerohanian yang tidak seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Dalam hal ini, Dr Amini Amir berkata, gambaran yang diperolehi daripada persekitaran dan masyarakat kita hari ini ialah salah faham terhadap konsep kebebasan di kalangan anak dan ibu bapa banyak mempengaruhi faktor kepada meruncingknya gejala sosial ini.

Menurutnya, konsep kebebasan barat perludigantikan dengan konsep kebebasan Islam kerana ibu bapa yang sayang kepada anak adalah mereka
yang menjaga, mendidik, mengasuh dan memberi pendidikan yang sewajarnya kepada anak. Pada masa ini apa yang kita lihat ialah ramai ibu bapa dan anak yang tidak memahami tanggungjawab masing-masing sehingga menjadi antara faktor
berlaku gejala sosial.

Fenomena ini adalah kerana tuntutan kehidupan masyarakat pada hari ini yang lebih banyak berkisar kepada mengejar kebendaan sehingga melupakan
kepada keperluan kehidupan itu sendiri yang perlu diisi supaya tidak lari daripada tuntutan kehidupan sebenarnya. Pihak berwajib perlu melihat keseimbangan kemajuan dan pembangunan insan dalam aspek pembangunan rohani, jasmani, emosi, fizikal, mental dan spiritual. Kebebasan yang keterlaluan yang diberikan kepada generasi pasca merdeka banyak dikesan disalahgunakan dan semakin dilihat melalaikan sehingga menjadi duri dalam daging kepada kehidupan anak muda pada masa ini yang menyumbang kepada banyak kes gejala sosial di Malaysia.

Hiburan terlalu dipentingkan dan dibudayakan hingga masyarakat hilang budaya untuk mengagungkan budaya ilmu dan pembelajaran serta lari daripada
tujuan kehidupan sebenar dan hanya suka kepada keseronokan yang sementara.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TUKAR BAHASA MELAYU KLASIK KE BAHASA MELAYU STANDARD

TUKAR BAHASA MELAYU KLASIK KE BAHASA MELAYU STANDARD

TUKAR BAHASA MELAYU KLASIK KE BAHASA STANDARD