KATA NAFI
Kata Nafi
1. MAKSUD:
Kata naïf ialah perkataan yang digunakan untuk menafikan atau menidakkan sesuatu.
2. JENIS KATA NAFI:
Tidak : Untuk kata/frasa adjektif dan kata/ frasa kerja
Bukan : Untuk kata/ frasa nama dan kata/frasa sendi dan hubung
3. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA NAFI:
a. ‘tidak’ hanya digunakan jika di depannya ialah kata/frasa adjektif dan kata/ frasa kerja.
Salah:
i-Orang yang menyertai pertandingan itu bukan berbadan besar. (adjektif)
ii-Kereta baru yang dibelinya itu bukan cantik sangat. (adjektif)
iii-Dalam kejadian itu, orang yang disyaki bukan tidur. (kerja)
Betul:
i-Orang yang menyertai pertandingan itu tidak berbadan besar. (adjektif)
ii-Kereta baru yang dibelinya itu tidak cantik sangat. (adjektif)
iii-Dalam kejadian itu, orang yang disyaki tidak tidur. (kerja)
b. ‘bukan’ hanya digunakan jika di depannya ialah kata/frasa nama dan kata/ frasa sendi & hubung.
Salah:
i-Kereta yang dipandunya itu tidak kereta Proton. (nama)
ii-Pelajar perempuan yang baru datang itu tidak Hayati. (nama)
iii-Peniaga berbangsa Melayu itu tidak dari Kuala Lumpur. (sendi)
iv-Dia melawat ke negara barat itu tidak dengan saya. (hubung)
Betul:
i-Kereta yang dipandunya itu bukan kereta Proton. (nama)
ii-Pelajar perempuan yang baru datang itu bukan Hayati. (nama)
iii-Peniaga berbangsa Melayu itu bukan dari Kuala Lumpur. (sendi)
iv-Dia melawat ke negara barat itu bukan dengan saya. (hubung)
c. Jika sesuatu ayat itu ada perkataan ‘tetapi’, hanya ‘bukan’ yang boleh digunakan tanpa mengira jenis kata di depannya. (jangan gunakan ‘tidak’)
Salah:
i-Kereta yang dipandunya itu tidak kereta Proton tetapi kereta Mazda.
ii-Orang yang menyertai pertandingan itu tidak berbadan besar tetapi berbadan kurus.
iii-Kereta baru yang dibelinya itu tidak cantik sangat tetapi sederhana sahaja.
Betul:
i-Kereta yang dipandunya itu bukan kereta Proton tetapi kereta Mazda.
ii-Orang yang menyertai pertandingan itu bukan berbadan besar tetapi berbadan kurus.
iii-Kereta baru yang dibelinya itu bukan cantik sangat tetapi sederhana sahaja.
d. Kata pemeri ‘adalah’ sahaja yang boleh digunakan bersama-sama dengan kata nafi. (jangan gunakan ‘ialah’) / Lebih tepat jika 'adalah tidak' atau 'adalah bukan' digantikan dengan 'tidak' atau 'bukan' sahaja.
Salah:
i-Merokok ialah tidak menyalahi undang-undang di negara kita.
ii-Kenyataan yang anda beri tadi ialah tidak benar sama sekali.
iii-Orang kaya itu ialah bukan keturunan raja Melayu Melaka.
iv-Peniaga berbadan gempal itu ialah bukan dari Johor Bahru.
Betul:
i-Merokok adalah tidak menyalahi undang-undang di negara kita. (lebih tepat: tidak menyalahi)
ii-Kenyataan yang anda beri tadi adalah tidak benar sama sekali. (lebih tepat: tidak benar)
iii-Orang kaya itu adalah bukan keturunan raja Melayu Melaka. (lebih tepat: bukan keturunan)
iv-Peniaga berbadan gempal itu adalah bukan dari Johor Bahru. (lebih tepat: bukan dari)
(Pelajar disaran supaya menggunakan 'tidak' atau 'bukan' tanpa menyertakan 'adalah')
sumber:nazri
Ulasan
Catat Ulasan