Sabtu, 30 Oktober 2010

KARANGAN RANGSANGAN

ANALISIS SOALAN KARANGAN BAHAN RANGSANGAN SPM 2010 (Soalan Percubaan Negeri-negeri)

Analisis Soalan Karangan Bahagian (A) Peperiksaan Percubaan BM SPM Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2010

Bil.
Negeri/Institusi
Isu
Fokus soalan
Isi Dalam Bahan Rangsangan
1.
Perlis
Kemalangan jalan raya
Punca-punca
Tiada isi diberikan, cuma dipaparkan ilustrasi tentang kemalangan jalan raya
2.
Kedah
Aktiviti khidmat masyarakat
Faedah-faedah
- membina sikap sukarela – Modul
Khidmat Komuniti Program Khidmat
Negara
- mengukuhkan semangat kerjasama –
aktiviti gotong-royong
- memupuk perasaan cinta akan alam
sekitar – aktiviti kokurikulum
3.
Pulau Pinang
Remaja cemerlang
Ciri-ciri
- mementingkan ilmu
- menghormati ibu bapa
- yakin diri
4.
Perak
Sambutan kemerdekaan negara
Kebaikan-kebaikan
- memupuk semangat patriotik
- menghargai jasa pemimpin
- memupuk perpaduan
5.
Selangor
Semangat kejiranan
Usaha-usaha untuk memupuk
- bergotong-royong
- amalan ziarah-menziarahi
- rumah terbuka
6.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Perpaduan kaum di Malaysia
Cara-cara memupuk
- amalan rumah terbuka
- sikap hormat-menghormati
- sistem pendidikan yang
menggalakkan integrasi kaum
- terlibat dalam aktiviti sosial yang
disertai oleh pelbagai kaum
7.
Negeri Sembilan
Amalan gaya hidup sihat
Cara mempraktikkan
- pengambilan makanan seimbang
- bersukan
- pemeriksaan kesihatan
8.
Melaka
Warisan Negara
Kepentingan memelihara
- daya tarikan pelancong
- memupuk semangat patriotik
- mengekalkan nilai seni dan
estetika
- mengenang sejarah negara
9.
Johor
Perpaduan kaum di Malaysia
Kepentingan mengamalkan
- mewujudkan masyarakat
harmoni
- menarik kedatangan pelancong
- memajukan ekonomi negara
- meningkatkan keamanan negara
10.
Kelantan
Amalan membaca
Langkah-langkah untuk membudayakan
- ibu bapa menjadi suri teladan
- kempen membaca
- mengadakan pesta buku
11.
Terengganu
Amalan gaya hidup sihat
Cara yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu
- amalan pemakanan seimbang
- kebersihan diri dan persekitaran
- bersukan dan beriadah
- pemeriksaan kesihatan
12.
Sarawak
Hubungan kekeluargaan
Cara-cara mengeratkan
- makan bersama-sama
- meluangkan masauntuk bercuti
- mendengar masalah
- membantu dalam pelajaran
13.
Sabah
Pelancongan di Malaysia
Kelebihan-kelebihan sebagai sebuah negara pelancongan
- pulau
- gunung
- wau
- silat
14.
Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster KPM
Aktiviti masa lapang
Cara-cara remaja boleh memanfaatkan
Tiada isi diberikan, cuma dipaparkan gambar tentang lawatan ke tempat bersejarah, membaca buku, bergotong-royong, dan hari keluarga.
15.
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
Rumah Idaman
Kriteria-kriteria yang menjadi pilihan pembeli
Tiada isi diberikan, cuma dipaparkan gambar tentang iklan rumah dengan butir-butir yang berkaitan dengan rumah tersebut.
16.
Yayasan Islam Kelantan (YIK)
Amalan gaya gidup sihat
Faedah-faedah
- Pemeriksaan kesihatan
- jauhi daripada merokok
- amalan bersenam
- menjaga pemakanan

Sumber: http://khirkassim.blogspot.com/

SOALAN 3 e KERTAS 2- PERIBAHASA

PERIBAHASA

Bahagian peribahasa SPM biasanya berkisar pada beberapa bentuk soalan. Hal ini dinyatakan di bawah:

A. Membina ayat daripada peribahasa:
Contoh:
1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka dewasa.

2. seperti katak di bawah tempurung
Sikap Ng Khai Liang yang sukar menerima perubahan yang berlaku menyebabkan dia berfikiran tertutup seperti katak di bawah tempurung.

3. seperti paku dengan penukul
Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak mungkin dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus
Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin mengulang kaji pelajaran samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:
Contoh: Beri tiga peribahasa yang sesuai dengan cerita yang diberi.

1. Pak Hassan terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh mangsa itu tidak dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.

i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii. bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii. anak emas (anak kesayangan)
iv. air muka (diri, peribadi)

2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal melayari hidup sebagai suami isteri. Setiap pasangan perlu bersabar dan jika ada perselisihan pendapat, mereka perlu bertolak ansur serta saling memaafkan. Tanpa sikap tolak ansur sesebuah keluarga tidak akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih saying akhirnya akan lenyap. Hal ini boleh menyebabkan perceraian berlaku.

i. bagai pinang dibelah dua.
ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.

C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:
Contoh:

1. Setelah Berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Rony pulang semula ke kampung halamannya kerana berasakan kampung halamannya lebih tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai:
Contoh:

1. Tok penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)…………… Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.

i. rumah siap pahat berbunyi
ii. mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah

Latihan 1:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. bagaikan kera mendapat bunga
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
3. burung terbang dipipiskan lada
4. menegakkan benang yang basah
5. bagaikan telur dihujung tanduk
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
8. matinya semut kerana gula
9. air dicincang tidak akan putus
10. bagaikan embun di hujung rumput

SUMBER: http://bmpmrspm.blogspot.com/2009/06/peribahasa.html

NOVEL TINGKATAN 5 2010

Bagi zon 1 iaitu negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Guna novel berjudul Kembara Amira karya Amer Hamzah.

Jumaat, 29 Oktober 2010

KOMSAS TINGKATAN 5 2011

ANTOLOGI KOMSAS TING. 5 MULAI 2011

DIRGAHAYU BAHASAKU

BIL

JENIS GENRE

ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU (TINGKATAN 5)

1

Puisi tradisional

· Pantun Empat Kerat

· Pantun Lapan Kerat

· Syair Makna Riak

· Syair Pemberontakan Patani

· Gurindam Tonggak Dua Belas

· Seloka Si Luncai

2

Sajak

· Dirgahayu Bahasaku

· Kecek – (V)

· Bangkitlah

· Pasar Perasaan

· Di Bawah Langit Yang Sama

· Arkitek Kota

3

Prosa Tradisional

· Hikayat Langlang Buana

· Hikayat Siak

· Dua Geliga Hikmat

· Hikayat Opu Daeng Menambun

4

Cerpen

· Pahlawan Buntung

· Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong

· Idola

· Penanggungan

· Hutan Rimba

· Tanggar Amanat

5

Drama

· Tiang Cengal Dinding Sayung

· 1400

· Dato’ Onn

Rabu, 27 Oktober 2010

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010 – Amalan Gaya Hidup Sihat


Dengan berdasarkan Soalan Percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) beberapa buah negeri, antara isu yang perlu difokuskan ialah amalan gaya hidup sihat.

Antara negeri yang memfokuskan isu tersebut ialah Terengganu dan Negeri Sembilan. Di samping itu, soalan negeri Pahang turut memfokuskan isu yang sama tetapi dalam bahagian B iaitu soalan 2 yang berkaitan dengan peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga yang sihat (berformat ceramah).

Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Kertas 1 Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu negeri Terengganu 2010).

Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Rangka Karangan

Pendahuluan
- kepentingan amalan gaya hidup sihat

Isi-isi
- amalan pemakanan seimbang
- bersukan dan beriadah
- Pemeriksaan kesihatan

Penutup
- amalan tersebut perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat

Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.

Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.

Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.

Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah.

Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

PENYAKIT BERJANGKIT

Fokus Karangan SPM 2010 – Penyakit Berbahaya

Isu lain yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah penyakit berbahaya.

Soalan ini terdapat dalam Karangan Respons Terbuka Peperiksaan Percubaan SPM 2010 negeri Johor iaitu Soalan 4 (Dimensi antarabangsa).

Penularan penyakit berbahaya seperti H1N1, Demam Denggi dan AIDS telah mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan manusia sejagat.

Bincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh negara-negara terlibat untuk menangani penularan penyakit-penyakit berbahaya.

Selain itu, soalan negeri Pahang turut menyentuh isu yang sama iaitu wabak penyakit berbahaya dalam Soalan 4.

Wabak ILI dan H1N1 merupakan penyakit berjangkit yang menular di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini. Wabak ini telah menimbulkan pelbagai kesan terhadap kesihatan penduduk dan ekonomi sesebuah negara.

Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengatasi penularan tersebut.

Soalan SBP dan Sekolah Kluster juga menyentuh isu yang sama iaitu dalam Soalan 4.

Belakangan ini, penyakit yang berbahaya sangat cepat merebak dari satu negara ke satu negara yang lain.
Jelaskan cara-cara untuk mengawal penularan wabak tersebut secara global.


Soalan negeri Sabah turut menyentuh isu yang sama, cuma nombor soalan soalannya sahaja yang berbeza iaitu nombor 3 (Dimensi masyarakat atau negara). Selain itu, penyakit berbahaya itu pula difokuskan kepada amalan corak hidup yang tidak sihat, dan tidak semestinya pernyakit berbahaya yang berjangkit sahaja seperti soalan negeri Johor, Pahang, dan SBP & Sekolah Kluster.

Penyakit berbahaya semakin mengancam kesihatan rakyat Malaysia akibat amalan dan corak hidup yang tidak sihat.
Huraikan langkah-langkah untuk menangani masalah ini.


Di bawah ini saya paparkan soalan dan karangan contoh yang membincangkan isu yang hampir sama dan fokus soalannya juga hampir sama dengan soalan tersebut untuk rujukan bersama.

Soalan Contoh

Negara kita turut menerima tempias akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini.

Sarankan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara kita dan negara-negara yang terlibat.


Rangka Karangan


Pendahuluan

- Wabak penyakit berjangkit di negara ini terkawal - kerajaan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit.


Isi-isi Penting
i. Pesakit-pesakit dikuarantin daripada orang awam supaya tidak berjangkit.
ii. Jangan melancong atau berkunjung ke negara-negara yang dilanda oleh penyakit tersebut.
iii. Gunakan mesin pengimbas - sekat kemasukan pelancong asing dari negara yang terlibat memasuki negara Malaysia.
iv. Penyediaan ubat-ubatan seperti vaksin untuk ketahanan tubuh badan melawan penyakit.
v. Memusnahkan punca penyakit yang berpunca daripada unggas (ayam, burung dan lain-lain).

Penutup

- Kerajaan dan rakyat perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling – aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlu diutamakan - meyakinkan pelancong asing.

Karangan Contoh

Industri pelancongan negara terjejas sedikit akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini. Namun demikian, wabak penyakit itu berjaya dikawal dan tidak memberikan kesan yang serius terhadap industri pelancongan dan kesihatan rakyat negara ini. Hal ini demikian kerana, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang efektif untuk menangani penyakit tersebut. Berdasarkan langkah mencegah lebih baik daripada mengubati, penyakit tersebut tidak merebak kepada rakyat negara ini. Seterusnya rakyat negara ini perlu berasa bimbang akan wabak yang menular di seluruh dunia itu.

Negara kita dan negara-negara yang terlibat sepatutnya mengambil langkah seperti mengasingkan pesakit yang menghidap wabak tersebut. Dengan perkataan lain, pesakit perlu dikuarantin dan diasingkan daripada orang awam agar penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain iaitu sebelum nasi menjadi bubur. Jika tindakan ini diambil sudah pasti penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negara-negara lain. Seterusnya, keadaan ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia malahan industri pelancongan juga tidak terjejas.

Langkah lain yang perlu dijalankan adalah dengan mengelakkan diri daripada melancong ke negara-negara yang terlibat. Rakyat negara kita atau negara lain perlu membatalkan rancangan buat sementara waktu untuk pergi melancong ke negara-negara yang sedang dilanda wabak itu seperti negara China, Hong Kong, dan Indonesia. Langkah yang dikatakan sebagai menyediakan payung sebelum hujan, sudah pasti dapat mengelakkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh penyakit yang berbahaya itu.

Pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat pemeriksaan yang ketat dan menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara masing-masing. Sebagai contohnya, alat pengimbas tersebut perlu diletakkan di lapangan-lapangan terbang antarabangsa seperti di KLIA, Kuching, dan Bayan Lepas. Alat pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan pelancong yang masuk sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit tersebut. Sekiranya mereka telah dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu di bawa ke hospital untuk diberikan rawatan dan juga dikuarantin.

Selain itu, pihak berkuasa perlu menyediakan ubat-ubatan dan vaksin yang boleh melawan virus H5N1 dan mencegah virus tersebut daripada menyerang manusia. Seseorang yang perlu ke luar negara atas urusan yang penting perlu diberikan suntikan vaksin yang dapat mencegah seseorang itu daripada dijangkiti penyakit tersebut. Hal ini demikian kerana, vaksin yang berkesan akan berupaya untuk melawan virus penyakit itu daripada menyerangnya. Orang yang sudah dijangkiti oleh penyakit ini pula, perlu diberikan rawatan yang rapi dan ubat-ubatan yang benar-benar berkesan untuk mengubati pesakit tersebut.

Langkah seterusnya ialah pihak berkuasa perlu memusnahkan haiwan yang telah dijangkiti dan menjadi punca penyakit ini merebak kepada manusia pula. Unggas seperti burung dan ayam yang telah dijangkiti perlulah dihapuskan segera agar wabak tersebut tidak menjangkiti manusia pula. Hal ini demikian kerana, penyakit ini sebenarnya berpunca daripada unggas seperti ayam dan burung yang dijangkiti oleh virus tersebut dan seterusnya memindahkannya kepada manusia yang memeliharanya atau terlibat secara langsung dengan unggas tersebut setiap hari.

Sebagai kesimpulannya, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah peka terhadap keadaan di sekeliling mereka. Aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlulah diberikan perhatian yang utama dalam kehidupan seharian. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah kerana sekiranya aspek kebersihan diabaikan sudah pasti penyakit itu akan mudah menyerang mangsanya. Jadi, langkah awal penting untuk menghindarkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh wabak yang berbahaya ini. Seterusnya, perkara ini juga akan dapat meyakinkan pelancong yang hendak melancong ke negara kita.